Menginap Secara Percuma di Christ Church College-University Of Oxford

0
29

Pada hujung bulan Jun 2017 yang lalu, ketika umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri, saya menyambutnya sendiri di tengah-tengah Kota London.

Sebulan sebelum berangkat ke London, saya mengalami sedikit masalah kewangan dan ini menyebabkan bajet saya untuk 2 minggu di sana akan terjejas. Selain menggunakan Couchsurfing untuk menjimatkan duit perbelanjaan bagi tempat tinggal, saya tanpa sengaja terbaca di laman web University Of Oxford, dimana mereka akan menganjurkan program hari terbuka “Open Day” selama 2 hari.

Setiap kolej di bawah naungan University of Oxford dimana terdapat 30 buah kolej kesemuanya. Antara kolej-kolej yang terkenal adalah Christ Church College, Magdalean College, Hertford College dan beberapa lagi. Setiap kolej akan menganjurkan hari terbuka mereka sendiri secara serentak. Dimana ada beberapa kolej yang menawarkan penginapan dan makan minum percuma selama 2 hari 2 malam.

Tanpa berfikir panjang, saya memohon untuk turut serta didalam program ini walaupun saya tahu, program ini adalah untuk pelajar-pelajar lepasan A-level dan sebagainya. Akan tetapi itu tidak menjadi masalah ketika saya mengisi borang secara talian didalam laman web kolej yang saya mohon.

Hampir 2 minggu, masih tiada maklum balas daripada pihak kolej-kolej tersebut dan saya menggangap mungkin mereka tidak berminat untuk mengambil saya sebagai salah seorang tetamu mereka. 

Seminggu sebelum berangkat ke sana saya menerima khabar baik daripada kolej-kolej yang saya memohon untuk menjadi peserta “Open day”. Untuk makluman semua tidak semua kolej-kolej ini menawarkan penginapan dan makan minum percuma, ada yang mengenakan bayaran sekitar 5pound untuk 2 hari, dan ada yang cuma menawarkan lawatan sekitar kolej mereka saja, tidak ada penginapan disediakan.

Saya cukup beruntung kerana pihak Christ Church College menawarkan penginapan percuma sepanjang saya berada disana, disamping itu juga mereka menghantar email jika saya tidak mempunyai dana untuk ke sana contohnya seperti tiket bus dan sebagainya daripiada London bukan daripada Malaysia. Begitu prihatinnya mereka terhadap orang-orang yang berminat untuk melanjutkan pengajian disana, walhal mereka adalah kolej-kolej yang tersohor, jika tidak berbuat demikian pun orang ramai akan berpusu-pusu untuk memohon melanjutkan pengajian disana.

Christ Church College

Tidak cukup dengan itu saya juga mendapat panggilan daripada pihak Christ Church college untuk mengetahui bila saya akan sampai di sana dan sebagainya. Saya cukup teruja apatah lagi Christ Church College merupakan tempat yang pernah dijadikan latar belakang cerita kegemaran nombor satu saya iaitu Harry Potter.

Pemandangan dari luar Christ Church College

Jika anda ingin menginap di Christ Church College ataupun kolej-kolej lain di bawah naungan University Of Oxford untuk merasai kehidupan sebagai seorang pelajar disini, anda boleh melayari laman web kolej-kolej tersebut. Setiap kolej ada menyediakan penginapan dan juga lawatan. Ada sedikit bayaran dikenakan. Harga untuk penginapan adalah berbeza mengikut jenis bilik yang anda pilih. Sangat berbaloi.

Asrama baru di Oxford, Blue Boar Quad

Apa yang saya lihat ketika disini, tidak putus-putus oxford menerima kunjungan orang ramai, tidak kiralah pelancong daripada United Kingdom sendiri mahupun daripada luar negara. Asrama yang saya duduki itu dipanggil Blue Boar Quad yang merupakan bangunan asrama baru.

Melepaslah peluang saya untuk duduk didalam bilik klasik dibangunan lama di belakang berdekatan dengan taman botanik yang menjadi tempat kegemaran Lewis Carroll untuk bersiar-siar sambil bermain-main dengan anak dekan kolej tersebut yang dikatakan merupakan watak benar didalam buku Alice In Wonderland. Tidak mengapalah.

Terdapat sebuah almari, peti besi berkunci, meja membaca baca beserta katil kecil. Tiada aktiviti-aktiviti tertentu yang dijadualkan untuk saya dan juga peserta-peserta Open Day yang lain. Kami bebas ke mana-mana saja didalam kolej ini dan juga bebas untuk pergi ke kolej lain untuk membuat lawatan.

Makan malam bersama-sama peserta lain yang menyertai acara Open Day Kolej

Peserta untuk Open Day yang menginap di kolej pada ketika itu cumalah 30 orang saja yang majoritinya adalah daripada United Kingdom sendiri dan saya antara satu-satunya peserta daripada negara-negara Asia. Susah untuk digambarkan perasaan ketika itu. Segan ada, terasa kerdil nya diri ini ketika didalam kelompok adik-adik yang bijak pandai. Apatah lagi dengan penggunaan bahasa inggeris saya yang agak teruk. Tapi saya cuma berlagak yakin saja supaya semua tidak terasa ada jurang perbezaan yang ketara.

Saya juga terpaksa menipu yang saya berumur 20 tahun oleh kerana tidak mahu mereka terasa pelik dan janggal dengan kehadiran saya. Maklumlah umur saya sudah 27 tahun dan saya sepatutnya berada di kalangan postgraduate student akan tetapi ketika itu tidak ada Open day untuk program Postgraduate student. Terpaksalah saya menyamar.

Menariknya, mereka tidak memaksa kami semua untuk menghadiri setiap program yang dijalankan. Setiap daripada kami diberikan kebebasan untuk melakukan apa saja disini. Datang untuk tidur saja pun tidak menjadi masalah. Ambillah peluang untuk berjalan-jalan ke pekan Oxford yang terkenal ini. Saya sangat teruja dengan bangunan-bangunan lama yang sangat klasik ini apatah lagi saya berpeluang untuk bergambar kenang-kenangan dihadapan Radcliffe Camera yang menjadi simbol kepada setiap pelajar-pelajar University Of Oxford.

Radcliffe Camera, Library in Oxford, England

Jika ada rezeki untuk ke United Kingdom lagi pasti saya akan kesini lagi. Pesanan saya untuk semua jika anda mempunyai peluang untuk mengembara ke United Kingdom jangan lepaskan peluang untuk merasai suasana kampus di universiti-universiti disini. Saya diberitahu bukan hanya University Of Oxford sahaja yang menawarkan program seperti ini akan tetapi banyak lagi universiti-universiti lain yang memberikan penginapan percuma jika menghadiri program Open Day mereka.

Saya tidak membayar apa-apa untuk merasai pengalaman yang amat berharga ini. Cuma sedikit wang dikeluarkan untuk membeli cenderamata University Of oxford untuk dibawa pulang ke Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here