Merdeka Sepatutnya Kemuncak Kurang Ajar! Tetapi Berlaku Sebaliknya

0
52
www.friendshipdaystatus.net

“Sesuatu bangsa tidak akan menjadi besar,
Tanpa sifat kurang ajar”


Petikan dahsyat dari untaian kata Almarhum Usman Awang itu saya taruhkan sebagai pemula. Pemula kepada sebuah tulisan, pemula kepada sebuah cetusan pemikiran.

Beberapa hari lagi genaplah 60 tahun ulangtahun kemerdekaan negara. Jika disamakan dengan umur manusia, 60 tahun adalah umur seorang tua. Bukan sahaja matang, malah banyak pengalaman dan tajam fikiran kebiasaannya. Tipu daya dunia dan ragam helah persekitaran adalah suatu yang sudah terbiasa.

Namun apakah negara kita semakin matang? Telahkah kita belajar dari liku-liku pengalaman? Apakah fikiran kita – seluruh warga – terarah pada satu destinasi yang disepakati bagi mengangkat pertiwi ke suatu tahap lagi?

Atau mungkinkah sebenarnya kita semakin mengundur ke belakang?

Merdeka itu bukan sahaja diangkat oleh para pencinta negara seperti yang sering disuapkan pada kita. Merdeka itu dijana, digembleng dengan suatu semangat untuk berani kurang ajar pada penjajah, sekaligus menentang tradisi amalan berkurun yang rela sujud pada penjajah yang silih berganti.

Ya. Kita melanggar tradisi! Nenek moyang yang telah tersebati dengan norma menghambakan diri kepada penjajah telah disanggah oleh anak cucu mereka sendiri yang melihat negara ini mampu ditadbir anak negerinya sendiri tanpa telunjuk sesiapa.

Ya kita pernah menjadi sangat kurang ajar suatu masa dulu! Dalam keadaan kita tak punya apa meski peluru, harta dan dokongan kuasa tetapi kita melawan melawan dan melawan setiap bobrok yang melintas dimata.

Gambar: straitstimes.com

Hasil kurang ajar demi negara ini ribuan gugur syahid dalam pertempuran demi pertempuran. Bukan sedikit yang dibuang negeri, ramai juga yang menukar rumah selesa kepada hutan tebal dan ada juga yang tak merasa habuannya dek terpinggir ke utara negara.

Tetapi kini, setelah 60 tahun, sikap kurang ajar ini pudar. Tiada lagi yang sudi menentang arus dan menjadi vokal. Biar sejuta kerosakan berlaku depan mata ia tidak lagi merangsang stimulus minda anak muda untuk berfikir dan bertindak. Segalanya diangguk demi memastikan perut anak bini kekal gemuk dan obes.

Jika dulu yang kurang ajar ditentang soldadu, meriam dan tali gantung. Kini sesiapa (jika ada) yang berani untuk kurang ajar dilawan para jentera pemerintah korup, agamawan yang mengajak bersyukur dan sekatan atas biasiswa, subsidi, brim dan seumpama.

Ruang-ruang untuk kurang ajar tidak lagi diteroka malah mula terarah kepada kurang peduli.

Akhirnya setelah 60 tahun ketiadaan penjajah politik. Kita kembali kepada sikap asal kita. Kurang yakin, malas, kuat berangan, pemalu untuk menuntut hak sendiri dan mementingkan diri.

Semua terjadi bila kita tidak belajar dari Merdeka, kerana sesiapa yang belajar sesuatu darinya pasti akan menjadi kurang aja.

*Tulisan ini ditulis oleh Nik Aziz Afiq. Beliau adalah ahli Parti Sosialis Malaysia dan Pemuda PSM. Hantar tulisan anda ke [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here