Mungkin ramai yang sudah mengetahui mengenai kewujudan kereta api daripada sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, tapi mungkin juga masih ada yang belum mengetahuinya. Disini saya ingin menceritakan sedikit pengalaman menggunakan kereta api klasik ini.

29572636_2157691177787311_5155882459244394834_n
Tiket daripada stesen kereta api Sungai Kolok Ke Hatyai Junction. Sila pastikan anda menyimpan tiket ini semasa didalam kereta api untuk tujuan pemeriksaan.

Sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan terletak di Rantau Panjang, yang mengambil masa sekurang-kurangnya 1 jam perjalanan daripada bandar Kota Bharu. Jika anda ingin ke Hatyai, Thailand dengan cara yang murah, menggunakan kereta api ini adalah salah satu caranya.

Daripada Imigresen Malaysia Rantau Panjang ke Sempadan Imigresen Thailand, Sungai Kolok saya cuma berjalan kaki saja yang mengambil masa sekitar 5 minit. Jika ada ingin menaiki motor juga boleh dan harganya adalah RM5 untuk sehala.

29063431_2157692737787155_636879293604469708_n.jpg
Malaysia-Thailand Border, ICQS Rantau Panjang. Urusan di sini mengambil masa sekitar 2 minit saja diwaktu pagi.

Selesai urusan passport dan juga mengisi borang putih yang diberikan di kaunter pemeriksaan di Imigresen Thailand, saya menaiki motor untuk menuju ke stesen kereta api Sungai Kolok.

Untuk ke stesen kereta api ini saya sarankan menaiki motor tambang yang disediakan. Jika hendak berjalan kaki juga boleh tetapi memakan masa lebih kurang 15 minit hingga ke 20 minit.

29570296_2157693711120391_2314777839596912765_n
Sempadan Thailand-Malaysia. Urusan cop passport disini juga sangat cepat jika anda ke sana pada waktu pagi. Mereka akan memberikan kita kad putih untuk diisi beberapa maklumat. Sila simpan kad tersebut. 

Kereta api terawal daripada stesen Sungai Kolok ke Hatyai Junction (stesen kereta api Hatyai dikenal sebagai Hatyai Junction) adalah pada jam 6.45 pagi waktu Thailand.

Waktu Malaysia adalah sejam berbeza daripada Thailand. Kereta api kedua pula pada jam 9.00 pagi. Saya lebih suka menaiki kereta api kedua ini kerana perjalanan daripada bandar Kota Bharu untuk ke Rantau Panjang tidaklah terlalu awal.

29542855_2157693714453724_2538388210890075823_n.jpg
Suasana didalam kereta api. Kerusi kayu ini agak selesa. Tingkap yang luas membolehkan angin masuk, akan tetapi jika hujan, anda perlu menutup tingkap tersebut bagi menggelakkan hujan membasahi anda.

Untuk urusan pembelian tiket kereta api, boleh terus ke kaunter. Jika anda tidak tahu berbahasa Thailand tidak mengapa, boleh menggunakan bahasa Inggeris ataupun bahasa Malaysia saja. Kadangkala petugas di kaunter boleh bertutur didalam bahasa Malaysia akan tetapi bergantung kepada petugas.

Pada tahun 2016, tiket untuk ke Hatyai daripada Sungai Kolok adalah diberikan secara percuma. Saya sempat mendapat tiket percuma tersebut sebanyak 3 kali sewaktu berkunjung ke sana. Akan tetapi, menurut penduduk tempatan disana, polisi kerajaan mereka telah pun berubah dan jika anda mahu ke Hatyai daripada Sungai Kolok, dikenakan bayaran sebanyak 42Bath, sekitar RM5 jika ditukar ke ringgit Malaysia.

Masih ada penduduk tempatan yang dapat menikmati tiket kereta api ini secara percuma jika mereka merupakan pemegang kad khas yang diberikan oleh kerajaan Thailand.

29570309_2157692667787162_2415345640289562255_n.jpg
Penjaja yang menjaja makanan mereka didalam kereta api. Pelbagai jenis makanan dan juga minuman ada dijual. Harga nya sekitar 20bath sehingga 40bath bergantung kepada jenis makanan.

Perjalanan daripada Sungai Kolok ke Hatyai mengambil masa selama 5 jam. Kerusi didalam kereta api ini merupakan kerusi kayu. Dan suasana didalam nya adalah sangat selesa, dan sungguh klasik.

Tidak semua kipas didalam kereta api ini berfungsi dengan sempurna akan tetapi, tingkap yang luas membolehkan angin daripada luar masuk ke dalam.

Ramai juga penjaja yang mengambil peluang untuk menjaja jualan mereka terutamanya makanan dan juga minuman. Jangan khuatir jika anda ingin membeli makanan tersebut ini adalah kerana kebanyakan daripada mereka adalah peniaga muslim di selatan Thailand dan kesemua makanan tersebut dijamin halal dan selamat untuk dimakan.

Didalam kereta api ini juga saya mengambil peluang untuk bercakap dengan penduduk tempatan. Mereka juga peramah lebih-lebih lagi yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand.

Sungguh tidak terasa 5 jam perjalanan itu adalah lama oleh kerana suasana didalam perjalanan sungguh mengasyikkan. Jika anda ke Kelantan, ambil peluang ini untuk ke Hatyai dengan menaiki kereta api lama ini jika anda tidak mahu memandu terus ke Hatyai. Parking berbayar ada disediakan di beberapa kawasan sekitar pejabat Imigresen Malaysia di Rantau Panjang.