Adakah anda suka membaca buku cerita hantu? Ini persoalan menarik yang akan membawa kepada sesebuah penerbit berani untuk menerbit buku yang bertemakan cerita hantu dan seram.

Untuk genre novel seram bagi peringkat remaja dan dewasa, boleh kita katakan, FIXI antara rumah penerbit yang aktif menerbitkan novel genre ini. Antaranya, Asrama karya Muhammad Fatrim, Gantung karya Nadia Khan dan Kacau karya Ariff Adly. Dubook Press juga pernah menerbitkan novel seram karya Jarr Nadjmuddean dengan tajuk #Cerita Seram.

Untuk pembukaan 2018 ini, Penerbit-X juga mula menerbitkan tiga buah buku dalam siri cerita Hantu, iaitu Puaka Jambatan, Puaka Asrama dan Puaka Lebuh Raya.

Penerbit-X yang memberi fokus kepada genre fantasi, sains fiksyen dan thriller sebelum ini, kini berani dengan konsep baru yang berbentuk seram.

Editor Penerbit-X, Zaki Zainol memberitahu, kenapa mereka berani untuk menerbitkan buku dalam genre seram ini disebabkan oleh tren yang melanda pembaca sekarang. “trend sekarang di mana hampir semua golongan, dari kanak-kanak hinggalah suri rumah meminati cerita seram.”

Tambah beliau lagi, tren ini dilihat berdasarkan jualan yang dibuat oleh tim jualan dan maklumbalas yang mereka terima. “Saya banyak mendapat input data-data jualan dan corak pembelian daripada mereka. Data-data yang diperoleh ini bersifat ‘real time’ kerana unit-unit jualan ini berinteraksi secara langsung dengan pelanggan mereka.”

Tiga buku dalam siri seram dari penerbit-X ini, dua darinya adalah berbentuk antologi dan satu berbentuk novel mini/novelet. Ia disasarkan kepada kategori remaja sekolah dengan harga sebuah cumanya RM10 sahaja.

Sejak dahulu lagi kita selalu membaca kisah-kisah seram dari majalah mastika. Walaupun tidak selalu menghabiskan masa dengan membacanya, tetapi sebenarnya ia agak menarik untuk ada suatu masa kita beralih sekejap dan membaca kisah seram dari mana-mana buku atau majalah.

Puaka Asrama ditulis oleh Khairul Nizam Khairani, manakala buku Puaka Jambatan ditulis oleh tiga penulis, Aida Anggerik, Siti Solehah dan Pn. Fakarina. Buku ketiga, Puaka Lebih Raya ditulis oleh Cikpuan Fifi, Sabrina Ismail dan Dr. Fendi Ameen.

Zaki menambah, “ketiga-tiga buku ini adalah kisah seram yang serius dan mampu menghantui. Kerana kelebihannya adalah pada saiznya. Berketebalan 120++ muka surat, bermakna kisah seramnya betul-betul padat.”

Walaupun buku seram bukanlah genre utama yang mendapat jualan yang tinggi berbanding buku-buku agama dan novel cinta, tetapi buku genre ini sebenarnya mempunyai kumpulan pembacanya sendiri.