Dr. Michael Jeyakumar Devaraj adalah seorang ahli politik Malaysia yang telah berkhidmat di Parlimen Malaysia sebagai Ahli Parlimen untuk kawasan Sungai Siput di Perak sejak 2008. Beliau dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dipilih untuk Parlimen atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Kemenangannya pada pilihan raya umum 2008 yang mengalahkan Samy Vellu, Presiden yang berkhidmat lama di Kongres Indea Malaysia (MIC). Sebelum ini Samy Vellu pernah mengalahkan Jeyakumar di Sungai Siput pada pilihan raya umum 1999 dan 2004. Jeyakumar berjaya mengekalkan kerusi beliau pada pilihan raya umum 2013 yang lalu.

Ini adalah petikan dari ucapan beliau di Parlimen ketika membahaskan Bajet 2017 pada 1 November 2017 yang lepas. Beliau membangkitkan isu ‘neoliberal’ yang jarang sekali dibahaskan oleh mana-mana wakil rakyat.

Terima kasih Dato Speaker untuk peluang ini untuk berbahas Belanjawan 2018.

Perdana Menteri telah mengatakan bahawa inilah Bajet yang terbaik dalam sejarah Malaysia kerana ianya komprehensif serta mengambil kira kepentingan semua lapisan masyarakat Malaysia.

Saya telah meneliti Bajet 2018, dan setuju ada hadiah-hadiah, handouts untuk pelbagai sector

  • 170,000 pesawah padi akan menerima RM 200 sebulan selama 3 bulan:
  • Unit Amanah Saham PNB bernilai RM200 akan dianugerakan pada tiap anak yang dilahir di Malaysia. (500,000 kelahiran setahun)
  • Voucher RM 250 membeli buku akan diberi pada 1.2 juta murid IPT dan Tingkatan 6
  • Bantuan pendidikan sebanyak RM 100 utk 3.2 juta murid sekolah
  • BRIM akan diberi pada 7 juta orang dengan anggaran kosnya hampir RM 7 bilion
  • Bonus sebanyak RM 1500 akan diberi pada beberapa kumpulan
    • 9800 Ketua Kg dan Tok Batin
    • 65,000 Imam, Bilal, Guru KAFA, guru takmir
    • 1.2 juta kakitangan kerajaan

Tetapi soalannya adalah, adakah pemberian handouts seperti ini menjadikan Malaysia sebuah masyarakat yang inklusif?

Pada pandangan saya walaupun negara bertambah kaya dari segi GDPnya, walaupun pendapatan per kapita telah meningkat ke RM 40,713 tahun ini, tahap financial security untuk 80% daripada rakyat kita terus berkurang. Tahap insekuriti telah bertambah. People are financially insecure. Negara kaya, tetapi rakyat terasa khuatir terhadap masa depan.

Kenapa?

Saya rasa ada 2 sebabnya

  1. Tiada simpanan yang mencukupi untuk masa depan
  2. Kos keperluan asas yang terus melambung tinggi

Sebab Pertama:  Tiada simpanan yang mencukupi untuk masa depan.

Simpanan KWSP merupakan simpanan utama untuk pekerja di sektor swasta dan mempunyai 6.5 juta pencarum. Ikut statistik KWSP sendiri, 80% pencarum KWSP yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan KWSP yang kurang daripada RM150,000.

Ikut anggaran KWSP sendiri  80% menghadapi masa depan yang tidak terjamin. Simpanan mereka akan habis sebelum mereka mencapai umur 70 tahun.

Selepas itu mereka terpaksa bergantung kepada anak – bagi anak yang berada pada taraf miskin akan memikul beban kewangan yang tinggi. Inilah punca rakyat tiada keyakinan terhadap masa depan negara.

Bukan saja pekerja bergaji yang menghadapi masalah tiada simpanan yang mencukupi

  • 1.5 juta pekebun kecil, pesawah, nelayan menghadapi masalah ketiadaan simpanan yang lebih teruk lagi. Mereka tiada simpanan KWSP pun. Majoriti daripada kumpulan ini yang berpendapatan rendah tiada simpanan untuk masa depan.
  • 1.5 juta perniaga kecil – gerai, pasar malam dan sebagainya dalam situasi yang sama. Tiada KWSP, Tiada simpanan, tiada keyakinan. Timbulnya kerisauan terhadap masa depan.

Inilah fakta pertama yang menyebabkan ketidak keyakinan ataupun financial insecurity terhadap masa depan – tiada simpanan yang mencukupi

Fakta kedua yang wujudkan insekuriti di kalangan rakyat kita adalah kos keperluan asas – kesihatan, perumahan dan pendidikan – yang terus melambung tinggi . Kita ambil kes Kos Perubatan

Ramai rakyat Malaysia sedang hilang keyakinan mereka terhadap Hospita Kerajaan kerana

  • Kelambatan dapat rawatan
  • Ramai doktor muda tanpa pengalaman dan kekurangan doktor pakar untuk membimbing
  • Sekatan bajet
  • Kitaran semula alat-alat perubatan

Oleh itu ramai yang pergi ke Hospital Swasta. Setakat ini hampir satu pertiga daripada kemasukan ke hospital adalah ke Hospital Swasta. Tetapi kosnya tinggi

  • Pembedahan bypass – RM 60,000
  • Bagi rawatan kanser RM 500,000 pun mungkin tidak mencukupi

Jadi berapakah jumlah duit yang mencukupi untuk memastikan sebuah keluarga boleh memperolehi rawatan yang berkualiti tinggi untuk semua ahli keluarga sepanjang umur? Supaya mereka tidak bersusah payah pada masa depan. Adakah simpanan sebanyak 1 juta mencukupi untuk keperluan rawatan? 5 juta?

Kerisauan berkaitan dengan kos perubatan adalah  penyumbang besar pada perasaan financial insecurity yang dialami oleh majoriti rakyat kita termasuk keluarga dalam kelompok T30.

Punca masalah kos perubatan yang tinggi adalah dasar neoliberal iaitu kepercayaan perkhidmatan asas harus dibekalkan oleh sektor swasta atas prinsip perniagaan. Pendekatan ini telah menggalakkan perkembangan sektor perubatan swasta dan ini yang memacukan penghijrahan doktor pakar dari sektor kerajaan berpindah ke sektor swasta.

Sebuah kerajaan yang prihatin pada rakyat akan ambil langkah untuk memperkukuhkan sistem perubatan awam. Kami telah menyarankan agar perkembangan hospital swasta dibekukan. Kami tidak minta hospital swasta yang ada ditutup. Tetapi jangan bagi dia berkembang kerana itu akan menarik keluar lebih ramai pakar daripada sektor awam.

Pembekuan ini akan membuka ruang untuk hospital kerajaan menambahkan bilangan pakar yang berpengalaman dan membaiki nisbah doktor pakar di jabatan mereka. Ini akan menambahkan keyakinan rakyat terhadap Hospital Kerajaan dan rakyat tidak perlu menyimpan wang untuk rawatan pada masa depan.

Ini akan mengurangkan tahap insekuriti di kalangan rakyat

Tetapi dalam bajet ini apa yang kita perhatikan adalah yang sebaliknya. Peruntukan telah disediakan untuk menggalakkan Pelancongan Kesihatan. Nampaknya kerajaan tidak nampak perkembangan sektor perubatan swasta menyebabkan financial insecurity di kalangan rakyat.

Bila rakyat terasa insecure, mana boleh mereka menghulurkan tangan untuk membantu orang lain? Mana ada masa untuk membina masyarakat penyayang? Financial insecurity menjadikan kita selfish. Kita terpaksa menjaga kepentingan diri sendiri dulu. Kita terpaksa mengumpul lebih duit, kerana tidak yakin terhadap masa depan.

Jadi tidak berguna untuk hanya mengatakan Malaysia adalah sebuah masyarakat yang inclusive, Masyarakat penyayang dan sebagainya. Kita kena wujudkan mekasime yang boleh memupuk solidariti di antara rakyat.

Saya ingin sentuh isu Pendidikan. Apakah matlamat kita dalam mendidik generasi muda ke peringkat universiti? Pada saya, tujuan utama adalah supaya mereka dapat perolehi kemahiran untuk berkhidmat pada rakyat kita.

Bila saya belajar perubatan di Universiti Malaya, saya diberi subsidi yang besar. Walaupun saya tidak diberi biasiswa, saya sedar bahawa yuran saya hanya menampung 10% daripada kos pendidikan saya. Oleh itu saya sedia pergi berkhidmat di Sarawak selepas dapat ijazah kerana saya ingin membalas pada masyarakat yang telah memberi pendidikan pada saya.

Tetapi sekarang, kita mengkehendaki pelajar kedoktoran bayar RM 300,000 hingga ke RM 1 juta untuk menjadi seorang doktor. Kemudian kita memaki mereka bila mereka enggan kerja di kawasan luar bandar. Kita gelar mereka sebagai orang yang selfish. Tetapi adakah ini adil?

Memperniagakan pendidikan tertiary, memaksa mereka mengambil pinjaman yang tinggi dan selepas itu mengkritik mereka yang mahu bekerja di bandar besar supaya dapat kerja lebih masa dan kumpulkan duit untuk membayar balik hutang mereka.

Saya ingin alih ke masalah harga rumah yang melambung tinggi. Punca masalah ini adalah pendekatan neoliberal yang mengatakan

  • Adalah lebih efisyen untuk pembekalan rumah diambil alih oleh sektor perniagaan;
  • Adalah baik untuk ekonomi negara untuk membenarkan pemodal dari luar negara untuk membeli rumah dan tanah di Malaysia.

Pendekatan ini telah membuka ruang untuk spekulasi dalam tanah dan rumah. Inilah sebabnya harga rumah telah melambung tinggi.

Masalah ini tidak dikendalikan dalam Bajet 2018. Perdana Menteri telah kata RM 2.2 bilion telah diperuntukkan untuk bina rumah mampu milik.

RM 1.5 bilion daripada RM 2.2 bilion ini adalah untuk PRIMA. PRIMA akan bina rumah yang berharga RM250,000. Adakah ini rumah yang mampu dimilik? Bukan di Sg Siput Yg Dipertua.

Lebih daripada 60% daripada keluarga Sg Siput memperolehi pendapatan di bawah RM 2000 sebulan sekeluarga. Mereka memerlukan rumah berharga RM50,000 ke bawah.

Caranya mengawal masalah kos rumah yang melambung tinggi adalah untuk

  • Tubuhkan Lembaga yang bukan untuk untung (non profit) untuk membina dan menjual rumah pada rakyat kita
  • Wujudkan polisi di mana tiap keluarga dapat membeli rumah pertama mereka daripada Lembaga ini dengan harga pembinaan sahaja
  • Polisi yang memastikan tanah kerajaan dipakai untuk tujuan ini tanpa cuba mengaut keuntungan bagi syarikat GLC yang dihadiahkan tanah tersebut supaya menjual pada pemaju.
  • Polisi di mana database yang senaraikan semua pembeli rumah daripada Lembaga Perumahan ini supaya semua keluarga hanya membeli satu rumah daripada lembaga dengan harga terkawal.
  • Polisi di mana jika keluarga itu mahu beli rumah daripada Lembaga di kawasan lain, boleh. Tetapi perlu menjual balik rumah pertama itu dengan harga yang dibeli sahaja. Mungkin boleh campur kadar inflasi.

Melalui polisi ini kita boleh mengeluarkan impak spekulasi daripada pasaran rumah di Malaysia dan harga rumah pertama untuk rakyat dapat dikawal.

Tetapi kita kena mencabar pendekatan neoliberal yang menyatakan semua perkhidmatan harus dibekalkan oleh sektor swasta atas prinsip perniagaan. Kita kena cabar kepercayaan neoliberal yang mengatakan sistem pasaran swasta adalah jauh lebih efisen dalam pembekalan rumah untuk rakyat.

Jika kita benar-benar ingin membina sebuah masyarakat yang inklusif, kita perlu mencabar pendekatan neoliberal yang memperniagakan segala-galanya. Tetapi saya tidak nampak kesedaran ini dalam Bajet 2018.

Pagi tadi Yang Berhormat Tambun telah mempertahankan cukai GST dengan berhujah bahawa cukai ini sedang diamalkan di 170 buah rumah. Hujahnya adalah 170 negara tidak boleh dikatakan salah.

Tuan Speaker, Ideologi neoliberal telah menular ke seluruh dunia. Dan ia telah membawa penswastaan perkhidmatan awam, pengecutan jaringan kebajikan, mengurangkan gaji dan menjejaskan sekuriti pekerjaan.

Inilah sebabnya rakyat biasa di beberapa negara sedang memberontak. Yang terakhir adalah Brexit. Sebelum itu adalah pilihan Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat. Ramai orang dinegara-negara itu menolak status quo yang mengutamakan kepentingan lapisan yang terkaya sambil meminggirkan rakyat biasa.

Sentimen yang sama juga wujud ketika pemberontakan “Arab Spring” di Timur Tengah.  

Rakyat biasa di seluruh dunia menunjukkan perasaan tidak puas dengan polisi-polisi yang menekan mereka tetapi memberi keistimewaan pada lapisan 1% terkaya.

Cabaran yang kita hadapi pada zaman ini adalah bagaimana kita dapat menyekat kerakusan 1% yang terkaya. Bagaimana kita dapat mengawal tipu helah mereka untuk mengelak daripada membayar cukai.

Apakah caranya untuk mengimbangkan pengagihan kekayaan dunia supaya sebahagian daripada kekayaan ini boleh diguna untuk membina satu masyarakat penyayang yang adil untuk semua?

Inilah cabaran yang dihadapai oleh kita sekarang. Kerana tidak begitu senang untuk menaikkan cukai terhadap 1% terkaya. Kerana ada kemungkinan 1% ini akan memulaukan sebuah negara yang buat begitu – mereka boleh mensabotaj ekonomi kita.

Jadi kita kena menubuhkan satu muafakat di peringkat ASEAN dan di kalangan G77 supaya kita bersama dapat mengawal 1% yang terkaya dan mencapai pengagihan kekayaan dunia yang lebih adil.     

Tetapi nampaknya, langsung tiada kesedaran di kalangan kerajaan terhadap isu-isu ini. Bajet ini tidak cuba mengubahsuai polisi macro yang mewujudkan financial sekuriti tetapi hanya memberi beberapa handout. Dan digelar bajet terbaik di sejarah Malaysia!

Bajet ini menunjukkan kebankrapan fikiran BN dalam kendalikan masalah-masalah utama yang dihadapi rakyat.

Jeyakumar Devaraj – perbahasan di Parlimen 1/11/2017