Tujuan utama seseorang individu menceburkan diri dalam perniagaan adalah mendapatkan untung. Bagi mendapatkan keuntungan, sesebuah perniagaan itu perlu mendapat langganan yang besar daripada pengguna. Langganan yang besar sahaja tidak memastikan keuntungan kecuali kos pengeluaran yang dilibatkan dapat memberi kadar keuntungan yang berpatutan.

pixabay.com

Keupayaan mendapatkan langganan yang menggalakkan sebahagian besarnya bergantung kepada tempat atau tapak perniagaan yang dipilih. Sebagai contoh, industri peruncitan bergantung sepenuhnya kepada tempat atau lokasi yang dipilih bagi menjamin kejayaannya.

Selain daripada itu faktor tempat atau lokasi perniagaan juga penting bagi industri-industri perkilangan dan perkhidmatan. Pemilihan tempat atau tapak perniagaan berkait rapat dengan fungsi pemasaran. Aspek tempat atau lokasi perniagaan perlu dilihat daripada segi elemen ruang dalam kegiatan ekonomi manusia.

Bagaimana Memilih Tempat atau Lokasi Perniagaan? 

  1. Tanggapan mengenai lokasi yang dianggap baik dan strategik. Bagi usahawan yang sudah lama berniaga, tanggapan ini dipengaruhi oleh pengalaman mereka yang lepas. Usahawan yang baru biasanya tidak mempunyai pengalaman yang lalu dan tanggapan mereka mengenai tempat perniagaan yang baik adalah berasaskan tindakan usahawan-usahawan yang sudah lama berniaga.
  2. Jenis perniagaan atau perusahaan yang akan dijalankan dapat dikumpulkan di bawah tiga kategori besar iaitu peruncitan, perkhidmatan dan perkilangan. Setiap jenis perniagaan ini memerlukan lokasi yang tertentu bagi mendapatkan langganan yang menggalakkan.
  3. Kemampuan dan kesanggupan membayar perbelanjaan sewa untuk lokasi yang dipilih mengandungi elemen risiko yang berkait dengan sejauh mana pelunjuran yang akan tercapai.

Pada dasarnya, usahawan tidak mempunyai kuasa yang luas bagi menentukan tapak atau kawasan perniagaan. Penentuan tapak atau kawasan perniagaan dibuat oleh ahli-ahli perancang bandar dan kawasan.

Sungguhpun demikian, ahli-ahli perancang bandar dan kawasan ini akan mengambil kira pandangan dan kepentingan ahli-ahli perniagaan, pengilang-pengilang, persatuan-persatuan pengguna dan agensi-agensi kerajaan ketika merancang penempatan kawasan-kawasan perniagaan dan perindustrian.

Usahawan hanya dapat memilih tempat atau tapak perniagaan selepas kawasan-kawasan perniagaan dan perindustrian dimajukan dan diwartakan. Sebahagian besar kawasan-kawasan perniagaan dimajukan oleh sektor swasta sementara kawasan-kawasan perindustrian dimajukan oleh agensi-agensi kerajaan.

pixabay.com

Keputusan menempatkan perniagaan di sesuatu lokasi bergantung kepada sejauh mana tempat yang dipilih itu dapat memenuhi segala kriteria yang sudah ditetapkan oleh seseorang usahawan.

Usahawan mempunyai jangkaan tertentu yang diharapkan dari tempat yang akan dipilih. Jangkaan inilah yang dapat digunakan bagi membina sebuah peta mental yang dapat menunjukkan keutamaan pilihan bagi menentukan lokasi perniagaan.

Misalnya, usahawan baru menganggap Lembah Klang di mana terdapat Bandaraya Kuala Lumpur dan Shah Alam, Bandar Klang dan Kajang sebagai tempat yang paling baik dibandingkan dengan, Kuala Kubu Baru dan Sabak Bernam.

Usahawan meletakkan beberapa kriteria apabila menentukan sama ada tempat yang dipilih itu baik atau tidak bagi menjalankan aktiviti perniagaannya. Antara kriteria-kriteria yang disenaraikan ialah:

  1. Identiti yang dikaitkan dengan kawasan yang dipilih. Sebagai contoh Jalan Sungai Besi di Kuala Lumpur dikaitkan dengan industri percetakan dan Sungai Rasah di Klang dikaitkan dengan bengkel-bengkel servis kenderaan. Ini tidak bermakna industri-industri yang lain tidak wujud di kawasan-kawasan yang dinyatakan. Biasanya industri-industri sokongan juga akan wujud di tempat yang sama.
  2. Faktor potensi menembusi dan menguasai pasaran di kawasan sekitar tempat yang dipilih adalah tarikan utama industri peruncitan dan perkhidmatan.
  3. Kemudahan infrastruktur yang terdapat di tempat yang dipilih seperti air, kuasa elektrik dan telefon memudahkan urusan perniagaan. Infrastruktur yang baik memudahkan sesuatu perniagaan itu mengadakan perhubungan dengan pihak luar seperti pelanggan, pembekal, agensi-agensi penyelidikan dan institusi-institusi kerajaan.
  4. Keluasan tapak perniagaan yang sesuai di sesuatu lokasi diperlukan bagi mendapatkan skala pengeluaran yang paling cekap atau optimum. Usahawan perlu memilih tapak perniagaan yang sesuai dengan jenis industri yang akan usahakan. Misalnya sebuah perusahaan biskut memerlukan luas ketuhar yang ukuran minimumnya 12 kaki padu bagi mendapatkan pulangan yang menguntungkan.
  5. Faktor kos pembangunan tapak perniagaan perlu dilibatkan sebelum operasi perniagaan dijalankan. Sesetengah jenis perniagaan yang menggunakan bahan-bahan mentah berbahaya seperti dalam industri kimia dan barang-barang binaan perlu membangunkan tapak perkilangannya sendiri. Lokasi dan keadaan fizikal sesebuah tempat akan menentukan kos pembangunan yang terlibat.

Misalnya, kos pembangunan sebuah tapak perkilangan di Lembah Klang lebih rendah berbanding kos pembangunan tapak yang sama di Ulu Selangor.

Apakah Proses Memilih Lokasi Perniagaan?

Proses memilih lokasi perniagaan akan mengambil masa yang singkat atau sebaliknya. Usahawan yang sudah lama berniaga biasanya mengambil masa yang singkat kerana mempunyai pengalaman memilih tempat perniagaan.

Ada beberapa langkah yang boleh diikuti oleh para usahawan yang baru apabila memilih lokasi perniagaan.

Pertama, meninjau kemungkinan yang wujud. Suatu senarai kawasan yang difikirkan sesuai untuk perniagaan yang diusahakan perlu dibuat.

Kedua, kumpul maklumat mengenai kawasan-kawasan yang sudah dikenal pasti. Maklumat-maklumat yang diperlukan ialah:

  1. Taraf kawasan sama ada bandar raya, bandar atau pekan
  2. Prestasi perniagaan
  3. Kedudukan infrastruktur
  4. Kadar pembangunan
  5. Taraf dan gaya hidup penduduk
  6. Rancangan pembangunan masa depan
  7. Faktor harga lot perniagaan atau kos sewaan

Ketiga, bandingkan kawasan-kawasan yang sudah disenaraikan. Ketika membuat perbandingan, usahawan perlu mengambil kira faktor-faktor nyata dan tidak nyata. Faktor-faktor nyata adalah seperti harga atau kos sewa lot, kos penyelenggaraan perniagaan serta ramalan jumlah pengeluaran dan jualan. Faktor-faktor tidak nyata ialah seperti prestasi kawasan yang berkenaan dan pembaziran atau penjimatan masa dalam urus niaga perniagaan.

Keempat, buat keputusan menempatkan perniagaan selepas dinilai tiap-tiap kemungkinan yang dibentangkan. Keputusan yang dibuat mestilah sesuai dengan objektif perniagaan yang akan dijalankan.

pixabay.com

Proses yang dinyatakan di atas sesuai bagi sektor-sektor perkilangan yang lokasinya bukan kriteria utama bagi menjamin kejayaan perniagaan. Bagi industri peruncitan dan per-khidmatan, proses ini perlu dilanjutkan dengan lebih terperinci iaitu dengan mengambil kira kedudukan tapak atau lot perniagaan sama ada dalam sesuatu kawasan atau dalam sesuatu bangunan.

Langkah kelima khusus bagi industri peruncitan dan perkhidmatan iaitu masalah menentukan sama ada tapak atau lot yang strategik dalam sesuatu kompleks atau kawasan dapat menjamin prestasi perniagaan yang baik. Tapak-tapak atau lot yang strategik biasanya terhad dan harus ada keupayaan bersaing bagi mendapatkan tapak atau lot yang diperlukan itu.

Rujukan

Berry B.J.L. An Inductive Approach to the Regionalisation of Economic Development, Essays

On Geography and Economic Development. University of Chicago Press, 1960.

Davies R.L. The Nature of Cities, Oxford. London: Pergammon Press, 1973.

Davies R.L., Retail and Commercial Planning. London: Croom Helm, 1984.

Dicken P. and Lloyd P.E. Location in Space-A Theoreetical Approach to Economic Geography. New York: Harper & Row, 1972.

Kamal Salih. Rationalised Growth Strategies in Malaysian Regional Development-Malaysian Economic Development and Policies. Persatuan Ekonomi Malaysia, 1975.

Marshall J.U. The Location of Service Towns – An Approach to the Analysis of Central Place Systems. University of Toronto, 1971.

Northern R.I. and Haskoll M. Planning for People – Shopping Centres, College of Estate Management, Whitenights, Reading, 1977.

Van Dusseldorp D.B.W.M. Planning of Service Centres in Rural Areas of Developing Countries, International Institute for Land Reclamation and Improvement Wageningen, Netherland.